RSS

DERMA DARAH .. 2 BULAN SEKALI @ 3 BULAN SEKALI??

Derma darah.. 2 bulan sekali atau 3 bulan sekali?
Itulah soalan yang kami sering terima daripada para penderma darah yang sentiasa bersemangat untuk pendermaan yang seterusnya bagi membantu mereka yang memerlukannya.
Minggu lepas kami menghuraikan mengenai tahap hemoglobin yang normal dalam darah dan perbezaan zat besi dengan hemoglobin. Minggu ini pula kami akan menjelaskan tentang satu soalan yang perbincangannya selalu hangat di kalangan penderma kami – adakah interval 2 bulan sekali cukup untuk menderma darah?
Mengikut statistik kami, kira-kira 4 – 6% daripada penderma yang cuba menderma tidak dapat memenuhi syarat hemoglobin minima untuk menderma darah. Hakikatnya, tahap hemoglobin yang tidak mencukupi ini merupakan sebab utama penderma terpaksa menangguhkan pendermaannya.


Tahap hemoglobin yang rendah mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor dan salah satu sebab utama kekurangan hemoglobin adalah tahap zat besi yang rendah. Kekurangan zat besi dalam badan selalunya berlaku secara progresif. Ia boleh disebabkan kurang pemakanan diet yang kaya dengan zat besi, kurang penyerapan zat besi ataupun kehilangan darah dalam satu jangka masa tertentu (pendarahan haid yang banyak/lama atau pendarahan usus tanpa disedari). Ia juga boleh disebabkan pendermaan darah yang terlalu kerap mengakibatkan kehilangan zat besi dari badan yang lebih cepat dari kadar penyerapan zat besi daripada makanan/supplemen.
Di kalangan penderma darah yang menderma dengan interval pendermaan yang terlalu rapat (2 bulan sekali), kekurangan zat besi kerap berlaku secara progresif tanpa disedari dan ini akan menyebabkan penyakit anemia sekiranya berlanjutan. Mungkin segelintir kecil penderma mempunyai diet yang kaya dengan zat besi yang boleh menampung keperluan zat besi dengan pendermaan yang begitu kerap; namun, secara amnya, kami menggalakkan penderma untuk menunggu sekurang-kurangnya 3 bulan untuk pendermaan yang seterusnya supaya bekalan zat besi badan boleh pulih kembali. Sesetengah kajian ada menunjukkan bahawa jika bekalan zat besi badan memang tidak mencukupi sebelum penderma menderma darah, penderma akan mengambil masa yang lebih lama untuk menambah kembali zat besi badan dan ini akan mengakibatkan anemia yang disebabkan oleh kekurangan zat besi.
Oleh itu, sebaik-baiknya, pendermaan darah boleh dilakukan setiap 3 bulan sekali. Kami tidak menggalakkan penderma untuk menderma selepas 2 bulan kerana tidak ingin penderma kami yang sihat menjadi pesakit anemia pula.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment